Pengalaman adalah guru yang terbaik. Seperti yang anda semua tahu, di artikel yang lepas saya telah berceritakan tentang bagaimana saya meraih peluang untuk menghasilkan sebuah filem. Di artikel ini pula, saya mahu bercerita serba sedikit tentang proses pembikinan filem pertama saya iaitu SAM.
Penghasilan skrip adalah langkah terawal dalam pembikinan filem dan ia merupakan tahap yang penting kerana skrip adalah akar sesebuah filem. Jika baik skripnya, maka baiklah filemnya dan begitu juga sebaliknya. Penghasilan skrip filem SAM mengambil masa selama satu bulan. Skrip ditulis oleh saya dan sepupu saya bernama Shalih Mokhti yang berusia hanya 17 tahun ketika itu. Selalunya, kami hanya tulis skrip untuk filem-filem pendek, tetapi kali ini untuk filem yang berdurasi lebih dari 90 minit. Walaupun ianya satu cabaran, kami nekad untuk menghasilkan sebuah cerita yang berbeza dari kebiasaan filem-filem yang sedia ada.
Saya mula mencari inspirasi untuk filem SAM dari pelbagi sumber. Contohnya dari filem-filem luar negara, buku-buku novel dan kisah-kisah benar dari surat khabar. Dua buah lagu yang dinyanyikan oleh Anuar Zain iaitu "Ajari Aku" dan "Sempurnakan Aku" turut memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan skrip filem ini. Malah, saya membuat keputusan menjadikan dua buah lagu tersebut sebagai lagu tema filem ini. Selepas satu bulan, syukur Alhamdulillah kami berjaya menyiapkan skrip filem SAM. Setelah jalan cerita dan skrip dipersetujui oleh pihak penerbit, kami mula memilih pelakon-pelakon dan krew-krew yang bakal terlibat.
Pengambaran filem SAM mengambil masa hampir 40 hari di sekitar KL, i-city Shah Alam dan di sebuah kilang percetakan di Bangsar. Pada hari pertama bermulanya pengambaran, saya mengaku agak kekok untuk megarahkan krew-krew dan artis-artis. Ini kerana mereka semuanya jauh lebih berumur dari saya tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar hingga ke hari akhir pengambaran. Tiada masalah komunikasi dan masing-masing saling menghormati. Walaubagaimanapun, ada juga beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dalam pengambaran filem seperti cuaca yang tidak menentu dan kerosakan peralatan teknikal. Pengambaran filem ini memang mencabar fizikal dan mental kerana kami perlu bekerja adakalanya sehingga 18 jam sehari untuk mendapatkan shot-shot yang menarik bagi memberi impak dan kelainan untuk filem ini. Saya bersyukur kerana semua pihak memberikan komitmen 100 peratus.
Filem SAM adalah karya pertama saya, jadi saya mahu menghasilkan sesuatu yang istimewa. Dengan itu, saya banyak mencuba pelbagai teknik baru yang belum pernah dihasilkan oleh filem-filem tempatan. Contohnya, teknik "time-slice","clonning","snorri cam","motion-control" dan banyak lagi. Teknik-teknik ini bukanlah satu kemestian dalam pembikinan filem, tetapi ia dapat mencantikkan visual sesebuah filem dan memberikan sesuatu yang baru dan segar bagi penonton. Tidak dinafikan, ianya memerlukan kos yang agak tinggi. Saya bersyukur kerana pihak penerbit (ayah saya) memberikan sokongan tanpa berbelah bagi. InsyaAllah, saya akan mencuba untuk menghasilkan yang lebih baik di masa akan datang.
Proses akhir dalam pembikinan filem adalah "Pasca-produksi". Tahap ini dilakukan setelah pengambaran filem selesai sepenuhnya. Pada tahap ini,filem tersebut akan disunting, dimasukkan muzik latar, efek bunyi, suara, pembetulan warna dan juga kesan khas visual. Proses penyuntingan mengambil masa selama satu bulan dan memerlukan konsentrasi. Saya mengambil keputusan untuk menyunting filem ini sendiri untuk mendapatkan visual yang saya mahukan. Begitu juga muzik latar dan kesan khas visual filem ini.. Akhir sekali, filem dihantar ke SiamFilmLab Bangkok untuk pembetulan warna dan sistem audio dolby digital yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
Selepas 4 bulan bersusah payah, akhirnya saya berjaya menyiapkan filem SAM. Walaupun kepenatan, pening kepala dan tidak cukup tidur selama 4 bulan, bagi saya pengalaman ini sangat istimewa dan tidak akan saya lupakan. Barulah saya sedar, pembikinan filem bukanlah satu perkara yang mudah jika kita mahu menghasilkan yang terbaik. Kepada papa, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kerana memberi peluang kepada anakmu yang masih mentah ini untuk menghasilkan filem SAM. Sekian sahaja untuk artikel kali ini. . Kalau ada pertanyaan atau mahu mengikuti perkembangan saya, follow saya di twitter.com/syafiqyusof

Wassalam.

  Artikel kedua untuk Utusan Malaysia Pancaindera

Reactions: 

1 Response so far.

  1. saya telah menonton cerita SAm nie. Jalan cerita yang menarik, lain daripada yg lain. Ianya mampu memberi satu impak yg positif dalam industri perfileman di negara ini. Teruskan usaha!