Salam hormat kepada semua pembaca. Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Mingguan Malaysia kerana memberi saya ruang untuk menulis artikel. Ini pertama kali saya menulis untuk surat khabar, sebelum ini hanya di blog saya sahaja iaitu syafiqrevolution.blogspot.com.
Seperti yang anda semua tahu, SAM adalah filem pertama arahan saya yang dibikin ketika saya masih berusia 18 tahun. Pembikinan filem SAM merupakan satu pengalaman yang istimewa bagi saya kerana saya bukan sahaja mengarah, tetapi proses penyuntingan, skor musik dan kesan khas juga dibuat sendiri. Skrip pula ditulis oleh saya dan sepupu saya bernama Shalih Mokhti yang berusia hanya 17 tahun ketika itu. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada semua yang telah menonton filem SAM.Sokongan anda amat dihargai.
Jadi ? Bagaimana dapat peluang untuk bikin filem dengan usia semuda itu? Ramai yang menujukan soalan ini kepada saya dan rata-rata memberi konklusi bahawa "ah, dia anak produser bolah la". Sebagai manusia biasa saya mengaku berasa kecil hati apabila dikata begitu kerana ramai yang tidak tahu bahawa ayah saya adalah seorang yang tegas dan bukan senang untuk mendapatkan kepercayaan darinya walaupun anak-anaknya sendiri. Proses ini telah dilalui oleh abang saya Syamsul Yusof yang diberi peluang mengarah ketika berusia 23 tahun melalui filem pertamanya "Evolusi Kl Drift".Terus terang saya katakan, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pengarah paling muda. Cita-cita saya adalah untuk menghasilkan filem-filem berkualiti yang dapat dibanggakan oleh masyarakat Malaysia. Itu lebih penting bagi saya.
Proses pembelajaran saya mengenai bidang filem bermula sejak dari kecil lagi apabila sering ikut ayah ke lokasi pengambaran. Saya melihat dan memerhati cara kerja ayah dari kecil dan mendengar perbualan mengenai filem hampir setiap hari. Saya mula belajar proses penyuntingan dan kesan khas ketika berusia 11 tahun. Internet adalah sumber ilmu yang amat penting bagi saya kerana saya belajar sendiri dan banyak yang dapat dipelajari tentang pembikinan filem melalui internet secara percuma. Saya sarankan kepada semua remaja untuk menimba ilmu dari internet tidak kira apa jua bidang yang diminati kerana ia adalah satu sumber yang hebat bagi zaman kita untuk mengembangkan minda dengan ilmu. Selain itu, saya juga banyak membaca dari buku-buku yang berkaitan tentang pembikinan filem.
Ketika di sekolah menengah pula, saya banyak menghasilkan filem-filem pendek dengan rakan-rakan. Setiap filem pendek yang dibuat akan dipertontonkan kepada ayah saya. Dari situ beliau banyak melontarkan kritikan dan pandangan. Selang tidak beberapa lama, ayah memberi peluang untuk mengarahkan 3 episod siri Gerak Khas di RTM dua tahun lalu. Alhamdulillah, ayah saya berpuas hati dengan hasil pengarahan saya. Selepas itu, saya menuntut di kolej dalam pengajian filem & tv.  Dalam masa yang sama, saya masih menghasilkan beberapa filem pendek yang di tayangkan melalui laman youtube. Antaranya adalah filem pendek "SAKIT", "ALONG" dan "ABANGKU GANGSTER" boleh ditonton melalui saluran fiq000s di youtube.
Akhirnya, ayah saya memberi peluang untuk mengarahkan filem apabila filem-filem pendek tersebut mendapat sambutan di youtube. Walaupun saya berkebolehan untuk menghasilkan filem pendek dan siri tv,  cara pembikinan filem jauh lebih mencabar dan berbeza. Jadi bagaimana saya tempuhi cabaran ini? InsyaAllah akan saya terangkan pada artikel akan datang. Kalau ada pertanyaan atau mahu mengikuti perkembangan saya, follow saya di twitter.com/syafiqyusof
Wassalam.



So, itulah artikel pertama saya untuk panca indera. Saya diberi ruang untuk tulis artilel ni 2 minggu sekali. thanks to Utusan Malaysia!

Reactions: 

0 Responses so far.