Salam sejahtera kepada semua pembaca. Ya, filem aksi popular arahan Syamsul Yusof  iaitu "EVOLUSI KL DRIFT" sedang di bikin dalam format drama bersiri dan bakal ditayangkan di TV2 pada setiap hari khamis jam 9 malam mulai 4 oktober 2012. Drama bersiri 26 episod ini diarahkan oleh saya dan juga sepupu saya iaitu Rizal Ashreff. Lakonan Norman Hakim, Puteri Sarah Liyana, Zain Saidin, Zach(X-Factor), Ridzuan Hashim, Datuk Jalaludin Hasan dan ramai lagi. Aaron Aziz juga berlakon sebagai bintang undangan khas. Syamsul yusof pula? Jangan risau, dia mestilah terlibat dalam drama ini sebagai pelakon utama dan selaku pencetus idea asal. Cuma bukan sebagai pengarah kerana abang saya sebenarnya sangat sibuk menyiapkan proses pos produksi untuk filem " KL GANGSTER 2", jadi dia menyerahkan tanggungjawab sebagai pengarah kepada kami berdua. Kepada anda semua yang sedang menantikan filem "KL GANGSTER 2", percayalah.. penantian anda tidak akan disia-siakan kerana filem ini bakal membawa satu lagi fenomena dalam industri perfileman Malaysia. Bukan untuk memuji abang sendiri, tetapi saya rasa sangat berbangga dengan kualiti filem ini yang boleh berdiri sama taraf dengan filem-filem antarabangsa.
Berbalik kepada drama bersiri "EVOLUSI KL DRIFT", ia merupakan satu  pengalaman baru untuk saya kerana ini adalah kali pertama saya mengarahkan drama berepisod yang agak panjang rantaiannya. Sebelum ini saya pernah mengarahkan 3 episod drama "Gerak Khas" dan terus mengarahkan filem SAM, tetapi kali ini saya mengarahkan 26 episod yang mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan.  Walaupun Rizal Ashreff turut mengarah bersama saya, proses pembikinan drama ini sangat memenatkan kerana banyak aksi lasak sukan drift dan aksi pergaduhan perlu disiapkan dalam masa yang agak terhad. Sungguhpun begitu, kami nekad untuk berusaha menghasilkan sebuah produk drama yang berkualiti dan diterima ramai.
Apa kelainan yang ada di dalam drama ini? Kelainannya terletak pada jalan ceritanya, temanya, dan visual yang dipaparkan. "EVOLUSI KL DRIFT" menawarkan tema campuran yang baru bagi penonton iaitu adunan aksi, persahabatan, kekeluargaan dan kesukanan. Ramai yang anggap aksi "drift" adalah gejala yang melanggar undang-undang tetapi sebenarnya ia merupakan satu kategori sukan permotoran sihat yang semakin popular di Malaysia sekiranya dilakukan di litar khas seperti di "Speed City KL"
Saya dan Rizal Ashreff cuba untuk memberikan satu kelainan dari segi visual, agar drama ini membawa satu nafas baru dalam persembahan drama tempatan. Kami menggunakan kamera berdifinisi tinggi (FULL HD 1080i) untuk mendapatkan imej yang seakan-akan filem. Kamera definisi tinggi bersaiz kecil juga digunakan untuk mendapatkan shot-shot ekstrem ketika melakukan babak-babak drift.
Selain itu, keistimewaan drama ini terletak pada kisah-kisah kekeluargaan dan persahabatan di era moden di kota metropolitan. Saya tidak boleh memberi info lebih tentang jalan ceritanya,  jika anda mahu tahu maka jangan lupa untuk menonton 4 oktober ini. Selamat menonton drama bersiri "EVOLUSI KL DRIFT". Sekian sahaja untuk artikel kali ini. Kalau ada pertanyaan atau mahu mengikuti perkembangan saya, follow saya di twitter.com/syafiqyusof
Wassalam.


 ARTIKEL KETIGA PANCAINDERA


Reactions: 


Pengalaman adalah guru yang terbaik. Seperti yang anda semua tahu, di artikel yang lepas saya telah berceritakan tentang bagaimana saya meraih peluang untuk menghasilkan sebuah filem. Di artikel ini pula, saya mahu bercerita serba sedikit tentang proses pembikinan filem pertama saya iaitu SAM.
Penghasilan skrip adalah langkah terawal dalam pembikinan filem dan ia merupakan tahap yang penting kerana skrip adalah akar sesebuah filem. Jika baik skripnya, maka baiklah filemnya dan begitu juga sebaliknya. Penghasilan skrip filem SAM mengambil masa selama satu bulan. Skrip ditulis oleh saya dan sepupu saya bernama Shalih Mokhti yang berusia hanya 17 tahun ketika itu. Selalunya, kami hanya tulis skrip untuk filem-filem pendek, tetapi kali ini untuk filem yang berdurasi lebih dari 90 minit. Walaupun ianya satu cabaran, kami nekad untuk menghasilkan sebuah cerita yang berbeza dari kebiasaan filem-filem yang sedia ada.
Saya mula mencari inspirasi untuk filem SAM dari pelbagi sumber. Contohnya dari filem-filem luar negara, buku-buku novel dan kisah-kisah benar dari surat khabar. Dua buah lagu yang dinyanyikan oleh Anuar Zain iaitu "Ajari Aku" dan "Sempurnakan Aku" turut memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan skrip filem ini. Malah, saya membuat keputusan menjadikan dua buah lagu tersebut sebagai lagu tema filem ini. Selepas satu bulan, syukur Alhamdulillah kami berjaya menyiapkan skrip filem SAM. Setelah jalan cerita dan skrip dipersetujui oleh pihak penerbit, kami mula memilih pelakon-pelakon dan krew-krew yang bakal terlibat.
Pengambaran filem SAM mengambil masa hampir 40 hari di sekitar KL, i-city Shah Alam dan di sebuah kilang percetakan di Bangsar. Pada hari pertama bermulanya pengambaran, saya mengaku agak kekok untuk megarahkan krew-krew dan artis-artis. Ini kerana mereka semuanya jauh lebih berumur dari saya tetapi Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar hingga ke hari akhir pengambaran. Tiada masalah komunikasi dan masing-masing saling menghormati. Walaubagaimanapun, ada juga beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan dalam pengambaran filem seperti cuaca yang tidak menentu dan kerosakan peralatan teknikal. Pengambaran filem ini memang mencabar fizikal dan mental kerana kami perlu bekerja adakalanya sehingga 18 jam sehari untuk mendapatkan shot-shot yang menarik bagi memberi impak dan kelainan untuk filem ini. Saya bersyukur kerana semua pihak memberikan komitmen 100 peratus.
Filem SAM adalah karya pertama saya, jadi saya mahu menghasilkan sesuatu yang istimewa. Dengan itu, saya banyak mencuba pelbagai teknik baru yang belum pernah dihasilkan oleh filem-filem tempatan. Contohnya, teknik "time-slice","clonning","snorri cam","motion-control" dan banyak lagi. Teknik-teknik ini bukanlah satu kemestian dalam pembikinan filem, tetapi ia dapat mencantikkan visual sesebuah filem dan memberikan sesuatu yang baru dan segar bagi penonton. Tidak dinafikan, ianya memerlukan kos yang agak tinggi. Saya bersyukur kerana pihak penerbit (ayah saya) memberikan sokongan tanpa berbelah bagi. InsyaAllah, saya akan mencuba untuk menghasilkan yang lebih baik di masa akan datang.
Proses akhir dalam pembikinan filem adalah "Pasca-produksi". Tahap ini dilakukan setelah pengambaran filem selesai sepenuhnya. Pada tahap ini,filem tersebut akan disunting, dimasukkan muzik latar, efek bunyi, suara, pembetulan warna dan juga kesan khas visual. Proses penyuntingan mengambil masa selama satu bulan dan memerlukan konsentrasi. Saya mengambil keputusan untuk menyunting filem ini sendiri untuk mendapatkan visual yang saya mahukan. Begitu juga muzik latar dan kesan khas visual filem ini.. Akhir sekali, filem dihantar ke SiamFilmLab Bangkok untuk pembetulan warna dan sistem audio dolby digital yang mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
Selepas 4 bulan bersusah payah, akhirnya saya berjaya menyiapkan filem SAM. Walaupun kepenatan, pening kepala dan tidak cukup tidur selama 4 bulan, bagi saya pengalaman ini sangat istimewa dan tidak akan saya lupakan. Barulah saya sedar, pembikinan filem bukanlah satu perkara yang mudah jika kita mahu menghasilkan yang terbaik. Kepada papa, saya ucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kerana memberi peluang kepada anakmu yang masih mentah ini untuk menghasilkan filem SAM. Sekian sahaja untuk artikel kali ini. . Kalau ada pertanyaan atau mahu mengikuti perkembangan saya, follow saya di twitter.com/syafiqyusof

Wassalam.

  Artikel kedua untuk Utusan Malaysia Pancaindera

Reactions: 


Salam hormat kepada semua pembaca. Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Mingguan Malaysia kerana memberi saya ruang untuk menulis artikel. Ini pertama kali saya menulis untuk surat khabar, sebelum ini hanya di blog saya sahaja iaitu syafiqrevolution.blogspot.com.
Seperti yang anda semua tahu, SAM adalah filem pertama arahan saya yang dibikin ketika saya masih berusia 18 tahun. Pembikinan filem SAM merupakan satu pengalaman yang istimewa bagi saya kerana saya bukan sahaja mengarah, tetapi proses penyuntingan, skor musik dan kesan khas juga dibuat sendiri. Skrip pula ditulis oleh saya dan sepupu saya bernama Shalih Mokhti yang berusia hanya 17 tahun ketika itu. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T dan berterima kasih kepada semua yang telah menonton filem SAM.Sokongan anda amat dihargai.
Jadi ? Bagaimana dapat peluang untuk bikin filem dengan usia semuda itu? Ramai yang menujukan soalan ini kepada saya dan rata-rata memberi konklusi bahawa "ah, dia anak produser bolah la". Sebagai manusia biasa saya mengaku berasa kecil hati apabila dikata begitu kerana ramai yang tidak tahu bahawa ayah saya adalah seorang yang tegas dan bukan senang untuk mendapatkan kepercayaan darinya walaupun anak-anaknya sendiri. Proses ini telah dilalui oleh abang saya Syamsul Yusof yang diberi peluang mengarah ketika berusia 23 tahun melalui filem pertamanya "Evolusi Kl Drift".Terus terang saya katakan, saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pengarah paling muda. Cita-cita saya adalah untuk menghasilkan filem-filem berkualiti yang dapat dibanggakan oleh masyarakat Malaysia. Itu lebih penting bagi saya.
Proses pembelajaran saya mengenai bidang filem bermula sejak dari kecil lagi apabila sering ikut ayah ke lokasi pengambaran. Saya melihat dan memerhati cara kerja ayah dari kecil dan mendengar perbualan mengenai filem hampir setiap hari. Saya mula belajar proses penyuntingan dan kesan khas ketika berusia 11 tahun. Internet adalah sumber ilmu yang amat penting bagi saya kerana saya belajar sendiri dan banyak yang dapat dipelajari tentang pembikinan filem melalui internet secara percuma. Saya sarankan kepada semua remaja untuk menimba ilmu dari internet tidak kira apa jua bidang yang diminati kerana ia adalah satu sumber yang hebat bagi zaman kita untuk mengembangkan minda dengan ilmu. Selain itu, saya juga banyak membaca dari buku-buku yang berkaitan tentang pembikinan filem.
Ketika di sekolah menengah pula, saya banyak menghasilkan filem-filem pendek dengan rakan-rakan. Setiap filem pendek yang dibuat akan dipertontonkan kepada ayah saya. Dari situ beliau banyak melontarkan kritikan dan pandangan. Selang tidak beberapa lama, ayah memberi peluang untuk mengarahkan 3 episod siri Gerak Khas di RTM dua tahun lalu. Alhamdulillah, ayah saya berpuas hati dengan hasil pengarahan saya. Selepas itu, saya menuntut di kolej dalam pengajian filem & tv.  Dalam masa yang sama, saya masih menghasilkan beberapa filem pendek yang di tayangkan melalui laman youtube. Antaranya adalah filem pendek "SAKIT", "ALONG" dan "ABANGKU GANGSTER" boleh ditonton melalui saluran fiq000s di youtube.
Akhirnya, ayah saya memberi peluang untuk mengarahkan filem apabila filem-filem pendek tersebut mendapat sambutan di youtube. Walaupun saya berkebolehan untuk menghasilkan filem pendek dan siri tv,  cara pembikinan filem jauh lebih mencabar dan berbeza. Jadi bagaimana saya tempuhi cabaran ini? InsyaAllah akan saya terangkan pada artikel akan datang. Kalau ada pertanyaan atau mahu mengikuti perkembangan saya, follow saya di twitter.com/syafiqyusof
Wassalam.



So, itulah artikel pertama saya untuk panca indera. Saya diberi ruang untuk tulis artilel ni 2 minggu sekali. thanks to Utusan Malaysia!

Reactions: